Cuba lerai 'perang mulut' abang dan kakak, pipi adik cedera terkena pisau

Junaidi Ladjana
Mei 11, 2021 16:01 MYT
Hanya kerana berang ditegur, suspek mengambil pisau di dapur dan mengacu pada adiknya, namun sempat dihalang sebelum terkena pipi mangsa. - Gambar hiasan
BEAUFORT : Niat seorang lelaki meleraikan pergaduhan antara adik-beradiknya tidak kesampaian apabila mangsa cedera di pipi selepas terkena pisau yang dipegang abang kandungnya di Kampung Lubak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, abang mangsa dikatakan mengamuk selepas dilarang pergi ke Kota Kinabalu oleh ibu mereka.
Difahamkan, ibu mereka tidak membenarkan suspek yang berusia 32 tahun terbabit ke Kota Kinabalu untuk mengambil barang kerana menggunakan motosikal orang lain selain tidak mempunyai lesen.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berang dengan larangan itu meninggikan suara memarahi ibunya.
Ekoran itu, Yusoff Zaki berkata, kakak mangsa menegur suspek kerana meninggikan suara dan menyebabkannya bertambah marah sebelum bertindak mengambil pisau di dapur rumah.
"Mangsa kemudian datang untuk cuba menghalang dan meleraikan pergaduhan berkenaan namun pisau yang dipegang suspek terkena pipi sebelah kanannya.
"Suspek kemudiannya melarikan diri dan usaha mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Yusoff Zaki berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort dan terpaksa menerima tiga jahitan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
#perang mulut #abang #kakak #pipi adik #adik-beradik
;