Cuba lari daripada polis, pengedar dadah rempuh warga emas hingga maut

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 15, 2021 09:24 MYT
Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, suspek berusia 46 tahun yang memandu Perodua Myvi turut hampir melanggar anggota polis yang mengejarnya, memaksa tembakan amaran dilepaskan anggota terbabit. - Gambar/ Media sosial
GEORGE TOWN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah merempuh pejalan kaki warga emas sehingga maut ketika melarikan diri daripada polis di Jalan Perak, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, suspek berusia 46 tahun yang memandu Perodua Myvi turut hampir melanggar anggota polis yang mengejarnya, memaksa tembakan amaran dilepaskan anggota terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, terdahulu dua anggotanya cuba menahan kereta dipandu suspek di Jalan Datuk Keramat.
"Bagaimanapun, ketika diarahkan berhenti, suspek bertindak melarikan diri sebelum merempuh seorang pejalan kaki ketika melalui Jalan Perak, menyebabkan mangsa berusia 61 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
"Supek kemudian melarikan diri ke arah Jalan Van Pragh dan diarahkan berhenti di Jalan Batu Uban 2, namun dia bertindak agresif sehingga hampir melanggar anggota polis di lokasi kejadian.
"Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebelah kanan belakang kereta dinaiki suspek.
"Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal yang datang memberi bantuan turut melepaskan satu das tembakan di bahagian hadapan kereta," katanya di sini, pada Selasa.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu berjaya ditangkap tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Soffian, hasil pemeriksaan, polis menemui tiga paket dadah jenis heroin seberat 13 gram pada tubuh suspek.
"Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau membabitkan 14 kes dadah dan dua kes jenayah lain," katanya.
Jelas Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan selain Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
#pengedar dadah #tokan #rempuh pejalan kaki #warga emas #George Town #pulau pinang #Myvi #Soffian Santong