Cuba gantung diri guna tali nilon, lelaki diarah ke Hospital Permai
Sinar Harian
Januari 2, 2020 15:17 MYT
Januari 2, 2020 15:17 MYT
Seorang lelaki yang cuba menggantung dirinya menggunakan tali nilon diarah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Arahan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff selepas tertuduh berusia 38 tahun itu mengangguk faham pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggantung dirinya dengan tali nilon pada siling di sebuah rumah di Kuala Nerus pada jam 10.10 malam, 23 Disember lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.