Cuba curi tunai, lelaki didenda RM1,500

Bernama
Januari 9, 2017 18:02 MYT
Gara-gara cuba mencuri wang tunai di sebuah pusat gimnasium, seorang jurujual barangan kesihatan didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan. - Gambar hiasan
Gara-gara cuba mencuri wang tunai di sebuah pusat gimnasium, seorang jurujual barangan kesihatan didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ubaidah Zulkiflee, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri wang tunai milik Chia Wen Tat, 20, di pusat gimnasium Celebrity Fitness, Lot 10, Jalan Bukit Bintang, di sini pada 8.30 malam, 5 Jan lepas.
Muhammad Ubaidah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan alasan walaupun kesalahan itu adalah cubaan mencuri namun ia tetap mengandungi unsur jenayah.
Peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan denda minimum dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarganya.
-- BERNAMA
#gimnasium #Mahkamah Majistret #Muhammad Ubaidah Zulkiflee #Noorelynna Hanim Abd Halim
;