Cuba bawa suara umat Islam, ciapan Tun Mahathir dianggap 'mengagungkan keganasan' oleh Twitter

Astro Awani
Oktober 29, 2020 23:50 MYT
Ciapan yang disembunyikan itu adalah sebahagian daripada bebenang yang dibuat oleh Dr Mahathir berkenaan kenyataan Emmanuel Macron susulan insiden pembunuhan seorang guru di Perancis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ciapan yang muat naik oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan insiden penindasan terhadap umat Islam di Perancis baru-baru ini disembunyikan laman sosial Twitter kerana dianggap “mengangkat keganasan”.
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, setiap kali ciapan berkenaan ingin diulang ciap, ia mengeluarkan pesanan yang mengatakan bahawa “Ciapan ini telah mencabuli Peraturan Twitter berkaitan mengangkat keganasan".
Malah, pesanan daripada Twitter itu juga menyediakan sebuah pautan untuk pengguna lain tetap menunjukkan ciapan Mahathir atau membaca lebih lanjut mengenai dasar pengecualian kepentingan awamnya.
“Kami telah menutup semua penglibatan awam ke atas ciapan itu seperti balasan, ulang ciap dan tanda suka, namun ia masih boleh dipetik oleh pengguna Twitter,” jelas bahagian dasar pengecualian kepentingan awam laman berkenaan.
Menurut dasar berkenaan juga, ciapan yang sepatutnya dipadam itu boleh dikekalkan jika langkah itu dianggap untuk kepentingan awam, namun ia hanya terpakai kepada pegawai kerajaan yang memenuhi kriteria tertentu.
Ciapan yang disembunyikan itu adalah sebahagian daripada bebenang yang dibuat oleh Ahli Parlimen Langkawi itu berkenaan kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron susulan insiden pembunuhan seorang guru di Perancis.
Kenyataan itu juga turut disiarkan di dalam blognya, chedet.cc.
Umum mengetahui, Twitter kini memperketatkan peraturan komuniti mereka sebagai langkah untuk memastikan perbualan menerusi platform mikro blog itu lebih sihat.
#Mahathir Mohamad #Twitter #ulang ciap #Emmanuel Macron #keganasan #laman sosial #Langkawi #Tweet #Islam #bebenang #Pembunuhan #dasar pengecualian kepentingan awam #bekas perdana menteri #mengangkat keganasan
;