Cuai jaga bayi: Pengasuh taska didenda RM40,000, khidmat masyarakat
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 15, 2023 13:00 MYT
Ogos 15, 2023 13:00 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh taska didenda RM40,000 dengan bon berkelakuan baik dua tahun dan diperintah menjalani khidmat masyarakat 100 jam selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas dua pertuduhan bertindak cuai terhadap dua orang bayi, pada Mac lalu.
Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap bayi tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari manakala tertuduh diwakili peguam, Syufri A Samad.
Di akhir penghakiman, hakim menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik dua tahun dengan syarat jaminan RM20,000 tidak bercagar.
Tertuduh juga diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan bagi kedua pertuduhan bermula dari tarikh sabitan.