Cuaca tidak mengizinkan, misi Shahrom ke Kutub Selatan tertangguh

Bernama
November 28, 2015 10:15 MYT
Peserta Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan 2015-2016, Shahrom Abdullah, 36, semangat mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran ekspedisi itu yang disempurnakan oleh Perdana Menteri. - Gambar Bernama
Misi penjelajah tunggal negara, Shahrom Abdullah dalam Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) Rentas Kutub Selatan tertangguh selama lima hari berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di Union Glacier, Antartika.
Menurut penasihat ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, penerbangan Shahrom, 36, dari Union Glacier ke Messner Inlet dibatalkan pada tiga hari lepas dan sedang menunggu jadual penerbangan baharu.
Penerbangan khas dari Union Glacier ke Messner Inlet menggunakan pesawat jenis Ilyushin mengambil masa selama lebih empat jam dengan jarak 2,985 kilometer.
"Kita menjangkakan dalam sehari dua lagi cuaca akan kembali baik dan Shahrom akan meneruskan penerbangan khas itu ke Messner Inlet, sekali gus membolehkan beliau bersiap sedia untuk memulakan misi ekspedisinya," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Jumaat.
Mengikut jadual asal katanya, Shahrom sepatutnya berlepas ke Messner Inlet pada 23 Nov lepas bagi memulakan ekspedisinya merentas Kutub Selatan menggunakan ski sejauh 1,000 kilometer ke titik kosong darjah.
Sementara itu, Presiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin yang juga pengelola ekspedisi berkata masalah penerbangan tertangguh akibat cuaca merupakan perkara biasa yang sering berlaku di Union Glacier.
#Akmar Hisham Mohd Yusof #KE7B #Messner Inlet #Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua #Rentas Kutub Selatan #Shahrom Abdullah
;