Cuaca panas: Trend kes lemas meningkat

Nur Fazlizai Ali
Ogos 8, 2024 02:00 MYT
Menurut Nor Hisham, hampir setiap hari ada saja kes lemas yang berlaku di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan pengunjung ekoran cuaca panas yang melanda ketika ini.
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 168 kematian akibat lemas direkodkan dalam tempoh awal Januari hingga Selasa lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah tersebut, 149 merupakan lelaki sementara 19 lagi mangsa wanita.
Menurut beliau, dalam tempoh itu juga sebanyak 162 kes telah direkodkan dengan bulan Mei menunjukkan peningkatan kes.
"Hampir setiap hari ada kes yang berlaku dan kita laksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan pengunjung ekoran cuaca panas yang melanda ketika ini.
"Masyarakat perlu sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air dan peka dengan keadaan cuaca sepanjang beriadah bagi menggelakkan insiden yang tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Jelas Nor Hisham lagi, berdasarkan statistik, insiden lemas paling tinggi direkodkan di kawasan sungai, pantai dan tasik dan air terjun.
Sementara itu Nor Hisham juga bimbang dengan ancaman banjir kilat dan fenomena kepala air berikutan trend hujan lebat kini yang tertumpu di satu-satu tempat.
#lemas #cuaca panas #bomba #Aktiviti air