Cuaca panas, tiupan angin punca gelombang kedua pencemaran sisa toksik

Bernama
Mac 13, 2019 17:36 MYT
Setakat ini, seramai 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan. - Gambar fail
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya insiden gelombang kedua pencemaran sisa toksik yang berlaku di Johor Bahru adalah disebabkan pergerakan tiupan angin selain cuaca panas di kawasan berkenaan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya telah mengenal pasti bahawa sistem pengudaraan di sekitar kawasan tersebut kembali pulih selepas pemantauan bacaan gas kimia di Sungai Kim Kim yang tercemar itu berada pada tahap selamat.
"Saya difahamkan tindakan untuk membersihkan sungai tersebut daripada sisa toksik memerlukan kos yang sangat tinggi kerana ia merupakan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mempunyai kepakaran membersihkan sungai itu secara keseluruhannya.
"Oleh itu, kerja-kerja pembersihan di sungai tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi menjadi mangsa pencemaran sisa toksik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 melibatkan 146 pegawai dan anggota JBPM Negeri Perak di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, seramai 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata punca kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini pada 20 Feb lepas akan diketahui tidak lama lagi.
Katanya siasatan yang dilakukan oleh pasukan forensik telah menemui beberapa bukti mengenai punca sebenar berlakunya kebakaran itu yang telah meragut enam nyawa.
"Saya percaya hasilnya akan dikeluarkan tidak lama lagi kerana indikatornya sudah ada, sudah ada bukti-bukti tertentu tetapi kita 'zoom in' untuk memastikan punca sebenar berlakunya kebakaran," katanya.
Dalam kejadian itu, enam termasuk tiga warga asing maut dalam kebakaran di tingkat empat sebuah bangunan di sini yang berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi.
#cuaca panas #dewan komuniti #Gas Metana #gas methane #JBPM #JBPM Negeri Perak #pelajar #pencemaran bahan kimia #pencemaran sungai kim kim #sekolah #Sungai Kim Kim
;