Cuaca panas tidak jejaskan bekalan barang - Salahuddin
Adie Sufian Zulkefli
Mei 8, 2023 15:56 MYT
Mei 8, 2023 15:56 MYT
SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan cuaca panas yang melanda beberapa negara di Asia termasuk Malaysia ketika ini tidak menjejaskan bekalan barangan keperluan harian.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, bekalan barangan keperluan masih lagi dalam kawalan dan pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Setakat ini (bekalan barang keperluan) masih dalam kawalan. Di Kedah (contohnya) tidak ada isu kekurangan gula dan air mineral, jadi saya harap bekalan barang keperluan ini dapat kita bekalkan secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran inisiatif Payung Rahmah di sebuah pasar raya di Sungai Lalang, dekat Sungai Petani, pada Isnin.
Pada majlis itu Salahuddin turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan susu pekat bernilai RM100 kepada 50 orang penerima.
Sementara itu, berkaitan isu bekalan gula, Salahuddin berkata KPDN akan bertindak lebih proaktif dengan membuat perancangan awal dan libat urus yang lebih kerap dengan pemain industri.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku krisis bekalan gula dalam negara pada masa hadapan.
"Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan masalah bekalan (gula) dapat diatasi, sekiranya ia berulang kita akan panggil syarikat berkaitan untuk atasi isu kekurangan bekalan dengan segera," katanya.
Selasa lalu, KPDN memaklumkan berlaku gangguan bekalan gula paket satu kilogram (kg) di Kelantan dan Terengganu susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Bagaimanapun, kedua-dua kilang berkenaan sudah beroperasi semula pada 25 April lalu.
Sejumlah 417,368 kilogram (kg) bekalan gula telah diedarkan di Kelantan dan Terengganu menerusi 17 pemborong utama di Kelantan dan 19 di Terengganu bagi menampung kekurangan bekalan di dua negeri berkenaan.