Cuaca panas tidak jejas bekalan air di Perak
Astro Awani
Jun 30, 2015 16:29 MYT
Jun 30, 2015 16:29 MYT
Sumber air di Perak masih banyak dan tidak menunjukkan tanda ia terjejas dengan fenomena cuaca panas yang berlaku di negeri ini ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenga Dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, fenomena cuaca panas tidak ada kesan yang ketara kepada sumber air yang dimanfaatkan oleh pengguna-pengguna negeri Perak.
Menurut beliau, kebiasaannya Lembaga Air Perak (LAP) akan mengambil tindakan bagi kes-kes melibatkan kawasan-kawasan yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan air.
Tindakan awal adalah dengan menghantar lori-lori tangki ke kawasan berkenaan.
“Keadaan sumber air kita amat banyak dan tidak terjejas dengan fenomena cuaca yang berlaku hari ini.
“Dalam musim panas pada bulan puasa ini, hampir jarang hujan berlaku tapi itu tidak meninggalkan kesan yang ketara kepada sumber air yang dimanfaatkan oleh pengguna-pengguna negeri Perak,” ujar Zainol Fadzi.
Beliau yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat LAP di Ipoh pada Isnin.
Zainol Fadzi juga memberitahu, ketika ini Perak mempunyai banyak loji rawatan air antaranya di Sungai Siput, Air Kuning, Taiping dan di Trolak Timur yang dapat membantu membekalkan air ke kawasan yang menghadapi masalah bekalan air.