Cuaca panas: Tiada kes kekejangan, strok haba dilaporkan di Sabah setakat ini
Bernama
Mac 14, 2024 18:55 MYT
Mac 14, 2024 18:55 MYT
KOTA KINABALU: Tiada sebarang kes kekejangan haba dan strok haba dilaporkan di Sabah setakat ini berikutan cuaca panas melanda sejak Januari lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Asits Sanna.
Beliau berkata kes patukan ular juga tidak dilaporkan sepanjang pemantauan cuaca panas di Sabah sehingga semalam.
Bagaimanapun katanya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan dua kes kelesuan haba yang berlaku di Beaufort pada Minggu Epid keempat dan ke-11.
"Kes kelesuan haba pertama dilaporkan melibatkan seorang lelaki berumur 50 tahun yang mengalami simptom itu ketika melakukan kerja menebang pokok. Kes telah mendapat rawatan di jabatan kecemasan hospital kerajaan pada 22 Jan, dibenarkan pulang pada hari sama dan telah sembuh.
"Kes kedua pula melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang mengalami simptom ketika mengikuti pertandingan bola sepak. Kes telah mendapat rawatan di jabatan kecemasan hospital kerajaan pada 9 Mac, dibenarkan pulang pada hari sama dan telah sembuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Asits berkata JKNS memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas dengan memastikan kelengkapan rawatan dan bekalan ubat mencukupi di setiap fasiliti kesihatan, selain menjalankan aktiviti promosi serta pendidikan kepada masyarakat.
"Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan. Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.
"Kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini. Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular," katanya.
Beliau berkata orang ramai turut diingatkan supaya minum air mencukupi serta mengurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula, termasuk bagi mereka yang berpuasa yang disaran untuk minum lapan gelas air sehari antara sewaktu berbuka dan sahur.
Penduduk juga dinasihatkan supaya memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung sekiranya berada di luar bangunan, selain peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang keluar dari habitat untuk mencari tempat redup.
-- BERNAMA