Cuaca panas: Tangguh aktiviti luar darjah, henti aktiviti jika IPU lebih 100 - KPM

Bernama
April 28, 2023 12:30 MYT
KPM dalam kenyataan hari ini berkata bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan. -Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) telah diarahkan mengambil langkah pencegahan bagi menghadapi cuaca panas dan jerebu dalam negara ketika ini, antaranya menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata bagi kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
Menurut kenyataan itu, peringatan telah diberikan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM untuk mengambil langkah pencegahan.
"Aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas perlu dipantau bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas," kata KPM.
KPM berkata bekalan air minuman bersih mencukupi perlu disediakan di institusi pendidikan, dan murid digalakkan membawa air minuman sendiri, selain bekalan air minuman yang mencukupi perlu disediakan kepada murid di asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mereka mendapatkan air minuman.
Institusi pendidikan juga diingatkan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena jerebu di kawasan masing-masing, selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan pelajar dan warga institusi.
"Institusi pendidikan perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#cuaca panas #Kementerian Pendidikan #jerebu #IPU lebih 100
;