Cuaca panas: Polis Kelantan tetap laksanakan 'snap check'
Bernama
Mei 22, 2023 12:59 MYT
Mei 22, 2023 12:59 MYT
GUA MUSANG: Polis Kelantan meneruskan pemantauan keselamatan dengan menjalankan 'snap check' secara bergerak seperti biasa ketika musim panas ini.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata cuaca panas tidak mempengaruhi penugasan ke atas anggota yang bertugas malah jumlah pemeriksaan tersebut mungkin bertambah mengikut keperluan semasa.
Bagaimanapun, katanya strategi pelaksanaan pemantauan akan dipelbagaikan mengikut keadaan.
"Snap check tidak bermusim, musim panas atau musim biasa ia diteruskan dan jumlah mungkin bertambah dari semasa ke semasa. Cuma strateginya berbeza, ada kalanya nampak jelas kita buat, ada sesetengah kita akan jalankan melalui risikan dan kita buat pemeriksaan di tempat yang sepatutnya.
"Sekarang ini strategi yang dibuat oleh penjenayah bermacam-macam. Contohnya dari segi pendatang tanpa izin cara kemasukan dahulu dengan van yang besar, sekarang dia masuk secara kecil-kecilan, kalau dulu dia terus, sekarang ini dia ada tempat transit, jadi kita menggunakan merancang berdasarkan apa yang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang, di sini malam tadi.
Dalam pada itu Muhamad Zaki berkata pihaknya menggunakan tiga pendekatan sebagai usaha mengekang kemasukan PATI melalui sempadan negeri ini.
"Pendekatan saya di Kelantan ialah tiga lapisan iaitu di sempadan, diikuti Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai dan rondaannya, ketiga sekatan jalan raya dan pemeriksaan rutin.
"Sebagai contoh semalam (Sabtu) tangkapan pendatang tanpa izin ini disembunyikan dalam satu kebun adalah kejayaan di lapisan kedua, Ketua Polis Balai mengetahui perkara ini dan membuat pemeriksaan dan semestinya berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut membuat permohonan kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menambah bilangan kenderaan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mereka.
"Dahulu kita hanya dapat capai dalam 80 syif tapi sekarang kita dah pergi sampai 100 lebih. Jadi saya rasa tambah kenderaan ini akan menyebabkan pemeriksaan kita akan jadi lebih dan kita akan tumpukan di kawasan sempadan," katanya.
-- BERNAMA