Cuaca panas: Pembenihan awan di tujuh empangan - TPM

Astro Awani
Mei 16, 2023 15:31 MYT
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 Tahun 2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan pembenihan awan di tujuh kawasan empangan yang mengalami penyusutan paras air berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan meskipun arahan segera untuk melaksanakan proses itu sudah dikeluarkan, ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk awan, angin dan cuaca.
"Beberapa keputusan dan pandangan soal pembenihan awan dilakukan dengan segera. Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di beberapa kawasan empangan air dan kita menumpukan kepada tujuh kawasan yang dijangka paras air akan menurun dan ini akan menyebabkan bekalan air terjejas.
"Saya ingin menyebut tujuh lokasi itu satu di Sungai Muda serta Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Simi Lajau. Dan saya petang ini akan terus pergi ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan hujan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada Selasa.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan bersedia melaksanakan darurat berikutan cuaca panas dialami negara pada masa ini namun setakat ini pelaksanaan darurat belum diputuskan.
“Belum lagi (laksana darurat), tetapi kita sudah sedia. Kita sedang pantau (cuaca) 24 jam. Kalau darurat (dilaksanakan), kita akan buat pengumuman,” katanya lagi.
Pada 10 Mei lalu, MetMalaysia mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi empat kawasan di Semenanjung dan satu kawasan di Sarawak.
Menurut data kemas kini cuaca panas yang dimuat naik di Facebook jabatan itu, empat kawasan di Semenanjung melibatkan Baling di Kedah serta Hulu Perak, Kinta dan Manjung di Perak.
Sementara kawasan di Sarawak yang berada pada tahap satu ialah Mukah.
Tahap berjaga-jaga adalah apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
#bekalan air #cuaca panas #Zahid Hamidi #MetMalaysia
;