Cuaca panas: Paras empangan, sungai di Selangor masih terkawal
Bernama
April 17, 2023 21:23 MYT
April 17, 2023 21:23 MYT
SHAH ALAM: Paras empangan dan sungai di Selangor masih terkawal dengan jumlah hujan yang diterima setakat ini adalah mencukupi, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim.
"Setakat ini paras empangan, simpanan air di luar sungai kita masih penuh selain sungai juga masih terurus, jadi tiada isu (bekalan air) di Selangor)," katanya pada media selepas hadir ke Bengkel Kajian Semula Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai untuk berjimat cermat dalam penggunaan air memandangkan rakyat Selangor menggunakan jumlah air yang lebih tinggi sebanyak 220 liter sehari berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 170 liter.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan semua negeri di Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan hingga Ogos susulan musim peralihan monsun.
Dalam perkembangan lain, Izham berkata kerja-kerja membaiki cerun dan jalan di Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap pada pertengahan tahun depan.
"Kita siapkan dulu tembok atau dinding penahan dan teknologi diguna pakai adalah sesuai dengan kawasan itu yang sempit dan bertahan lebih baik.
"Kontraktor pun telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja (cerun) itu termasuk jalan. Perlukan masa 10 bulan dan dijangka pertengahan tahun depan sudah boleh digunakan jalan itu," katanya.
-- BERNAMA