Cuaca panas: Paras air dua empangan di Perak masih di tahap maksimum
Bernama
April 25, 2023 19:02 MYT
April 25, 2023 19:02 MYT
IPOH: Paras air di dua empangan utama di Perak masih berada di tahap maksimum meskipun negara kini dilanda cuaca panas, kata Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP) Datuk Ishak Abd Rahman.
Beliau berkata setakat ini Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta dan Empangan Air Kuning, Taiping yang di bawah seliaan LAP, masih dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan kesan penyusutan paras air yang ketara akibat cuaca panas.
"Bagaimanapun, jaminan sama ada ia mencukupi untuk bekalan air bagi rakyat Perak itu semua bergantung kepada keadaan cuaca," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahang cuaca panas yang kini melanda Semenanjung disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan berkata operasi pembenihan awan di dua kawasan tadahan air di negeri itu dijangka bermula akhir bulan ini bagi mengisi secepat mungkin empangan di kawasan tersebut yang kian menyusut.
Beliau berkata kadar efektif air di empangan Air Itam menyusut kepada 44.8 peratus berbanding 46.1 peratus pada Isnin lepas, manakala empangan Teluk Bahang merekodkan penyusutan daripada 49.8 peratus kepada 48.6 peratus.
-- BERNAMA