Cuaca panas: Orang Asli hadkan aktiviti luar rumah, masuk hutan

Bernama
Mac 29, 2024 16:50 MYT
Penduduk Orang Asli juga terpaksa mengurangkan masa mencari buluh, herba dan memburu haiwan kecil di hutan. - Gambar hiasan/ Bernama
GUA MUSANG: Bahang cuaca panas menyebabkan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Brooke di sini terpaksa mengurangkan aktiviti di luar rumah dan masa bekerja di dalam hutan.
Penoreh getah, Sarudin Johari, 30, berkata sebahagian besar daripada lebih 100 keluarga di Kampung Mendrod yang menjana ekonomi keluarga dengan bercucuk tanam dan menoreh getah, terpaksa mengubah kelaziman sebelum ini berkebun dan menoreh getah dalam waktu yang lama.
Sarudin berkata penduduk juga terpaksa mengurangkan masa mencari buluh, herba dan memburu haiwan kecil di hutan.
"Kalau dulu kami keluar menoreh dan bercucuk tanam pada 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan sambung semula bekerja dari pukul 2 hingga 6 petang.
"Sekarang kami keluar seawal 7 pagi dan balik pada 10.30 pagi dan akan sambung semula pada pukul 4.30 petang," katanya kepada pemberita di Kampung Mendrod, Pos Brooke, di sini hari ini.
Penoreh getah, Jaleh Itam, 34, berkata sejak sebulan lepas ada sebahagian penduduk memilih tinggal seketika di pondok buluh sebagai alternatif mengurangkan bahang panas pada waktu siang.
Jaleh berkata aktiviti kanak-kanak juga sentiasa diawasi bagi mengelakkan mereka bermain di luar rumah ketika cuaca panas membahang.
"Sejak cuaca berubah kami tak benar anak-anak bermain di luar, dalam rumah pun dah rasa panas apa lagi kalau benarkan mereka keluar. Kami juga kerap bawa anak-anak mandi di Sungai Mendrod dan Sungai Senyul," katanya.
Pengusaha kebun, Rama Ajom, 44, berkata cuaca panas terik turut memberi kesan kepada tanaman yang diusahakan penduduk.
"Banyak pokok durian dan ubi kayu terjejas akibat cuaca panas. Kami bimbang kalau cuaca panas berpanjangan sumber makanan sara diri yang kami tanam itu rosak," katanya.
Rama berkata kebanyakan penduduk turut mencari alternatif lain dengan menjala ikan di sungai berdekatan.
-- BERNAMA
#Orang Asli #cuaca panas #masuk hutan #strok haba
;