Cuaca panas normal, diramal berterusan hingga September

Fauzi Suhaimi
Ogos 10, 2020 17:53 MYT
Cuaca panas itu berlaku berikutan angin Monsun Barat Daya kembali normal seperti tahun-tahun sebelumnya. - Gambar fail
Cuaca panas yang melanda negara kebelakangan ini merupakan cuaca biasa yang berlaku dalam musim Monsun Barat Daya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, situasi itu berlaku berikutan angin Monsun Barat Daya kembali normal seperti tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak menjangkakan negara akan berdepan dengan situasi El Nino mahupun La Nina dalam tempoh ini.
"Sebenarnya, pada masa ini kita masih dalam Monsun Barat Daya, jadi kebiasaan pada musim ini secara relatifnya memang akan berlaku cuaca panas berikutan kurangnya taburan hujan.
"Tetapi dua bulan kebelakangan ini iaitu pada Jun dan Julai kita berdepan dengan situasi Monsun Barat Daya lemah sehingga mewujudkan keadaan lembap yang luar biasa.
"Namun bermula minggu ini, Monsun Barat Daya sudah kembali normal dan angin bertiup dari Barat Daya sudah bermula menyebabkan negara mengalami hujan yang kurang dan rasa panas daripada biasa," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, Jailan berkata, pihaknya meramalkan keadaan panas ini akan berterusan sehingga pertengahan bulan September berikutan peralihan monsun.
"Namun dalam tempoh sekarang, keadaan hujan juga akan berlaku tetapi agak berkurangan menyebabkan cuaca lebih kering berbanding pada bulan Jun dan Julai lalu.
"Keadaan ini akan mencatatkan cuaca panas sehingga 36 darjah celcius khususnya di beberapa kawasan tumpuan seperti di pedalaman Pahang dan Kelantan," jelasnya.
BACA: Panasnya, macam mana nak tidur? Ini 5 tip untuk anda!
BACA: Bumi semakin membahang, 2020 dijangka rekod suhu paling panas
#cuaca panas #El Nino #Jabatan Meteorologi Malaysia #La nina #Malaysia #Monsun Barat Daya #Pahang #Taburan hujan
;