Cuaca panas melampau: 1 maut, 14 kes dilaporkan setakat ini - KKM
Harits Asyraf Hasnan
Mac 18, 2016 16:58 MYT
Mac 18, 2016 16:58 MYT
Kementerian Kesihatan mengesahkan menerima 14 laporan kes kelesuan haba (heat exhaustion) akibat cuaca panas melampau di negara ini setakat hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, selain daripada 14 kes tersebut, tiga lagi kes melibatkan strok haba.
Katanya, tiga kes strok haba tersebut telah menyebabkan satu kematian iaitu di Segamat, Johor, manakala dua lagi kes masih dirawat di Banting, Selangor.
“Kementerian telah mengeluarkan garis panduan dalam laman web kami yang antaranya meminta orang ramai untuk minum air yang mencukupi, kurangkan aktiviti fizikal di luar dan mengenakan pakaian perlindungan sesuai
"Minum air yang mencukupi kerana kekurangan air dalam badan adalah faktor asas yang menyumbang kepada kelesuan haba dan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan diserang strok haba,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Masalah dehidrasi
Mengulas berkenaan kes kematian di Segamat, Subramaniam berkata mangsa yang berusia 23 tahun mengalami masalah dehidrasi yang kritikal katika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat.
"Mangsa telah didedahkan kepada cuaca dan suhu yang terlalu tinggi selain menghadapi kekurangan air dalam badan.
"Ia telah sampai pada keadaan yang begitu teruk yang menyebabkan sistem saluran darah di mana darahnya telah pekat dan penyaluran darah ke tisu-tisu menghadapi masalah sekaligus semua tisu tidak dapat oksigen mencukupi," jelas Subramaniam.
Justeru, beliau menyarankan agensi-agensi kerajaan terutama yang beruniform untuk mengurangkan aktiviti latihan fizikal di luar pada ketika ini.
“Saya ketika mesyuarat Kabinet telah menyuarakan supaya agensi seperti polis, tentera serta program Kementerian Belia dan Sukan termasuk marathon dikurangkan memandangkan cuaca panas melampau,” katanya.
#cuaca panas melampau
#Datuk Seri Dr. S. Subramaniam
#kelesuan haba
#Kementerian Kesihatan
#strok haba