Cuaca panas: MBI ubah waktu kerja pembersihan, kutipan sampah elak strok haba

Aida Aziz
Mei 13, 2023 11:55 MYT
Perubahan waktu itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kerja-kerja pembersihan seperti yang dijadualkan seperti sebelumnya. - Gambar/ FB Hasliza Abidin
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil pendekatan mengubah waktu kutipan sampah serta kerja-kerja pembersihan ketika negara sedang berdepan cuaca panas ketika ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, perubahan waktu itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kerja-kerja pembersihan seperti yang dijadualkan seperti sebelumnya.
Menurutnya lagi, tindakan itu wajar bagi mengelakkan sebarang risiko strok haba kepada para petugas pembersihan yang berdepan cuaca panas, sehingga melebihi 35 darjah Celsius seperti dilaporkan sebelum ini.
"Pekerja pembersihan (termasuk kutipan sampah, mesin rumput, sapu sampah dan sebagainya) memang mula kerja seawal jam 6 pagi.
"Ketika cuaca panas ketika ini, atau waktu puncak pada tengah hari kita hadkan atau berhenti dulu kemudian sambung kerja pada waktu petang.
"Bahkan kutipan sampah memang ada dilakukan pada waktu malam, untuk elak cuaca panas sebegini.
"Pekerja pembersihan selalunya akan mulakan tugas dari 6 hingga 11 pagi, petang pula kalau kerja lebih masa (OT) mula 4 petang hingga 9 malam," katanya kepada ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat MBI, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika ada sebarang perubahan jadual kerja pembersihan bagi mengelakkan cuaca panas melampau.
Tambahnya lagi, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kakitangan pembersihan MBI yang mengalami strok haba.
"Kita jalankan operasi seperti biasa, cuma masanya ada sedikit perubahan. Sebenarnya perubahan itu sudah dilaksanakan sejak penghujung April lalu.
"Sampai bila perubahan waktu itu bergantung kepada cuaca panas melampau yang kita hadapi sekarang, jangkaan Jabatan Meterologi Malaysia sampai Jun, apa pun kita akan lihat semula nanti," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan Jabatan Kuasa Bencana sekiranya memerlukan sebarang bantuan kecemasan.
"Kita sentiasa peka jika ada sebarang permohonan bantuan, kita akan bantu dan siap sedia.
"Kalau kita terima makluman ada pihak yang memerlukan bantuan air, MBI bersedia memberi bantuan, ketika ini MBI memiliki enam buah lori tangki air," katanya.
Pada Khamis, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di tujuh negeri sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut bermula Khamis.
MetMalaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan negeri yang terlibat adalah Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Di Perak kawasan yang terlibat ialah Selama, Matang dan Larut; Kinta; Hulu Perak; Manjung dan Batang Padang.
#cuaca panas #pekerja pembersihan #MBI #Ipoh
;