Cuaca panas: Lebih dua hektar hutan di Bukit Semanggol terbakar

Abd Razak Mohd Ali
Jun 16, 2023 19:56 MYT
Setakat jam 6.30 petang, kebakaran telah merebak kepada lebih dua hektar, berbanding ketika bermula dengan hanya kira-kira sembilan meter persegi. - Gambar/ JBPM
BAGAN SERAI: Cuaca panas terik menyebabkan kebakaran kecil di hutan di atas Bukit Semanggol di Jalan Kubu Gajah, Gunung Semanggol, dekat sini, merebak dengan pantas.
Setakat jam 6.30 petang, kebakaran telah merebak kepada lebih dua hektar, berbanding ketika bermula dengan hanya kira-kira sembilan meter persegi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 4.37 petang.
Beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran bermula apabila terdapat pihak melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan.
“Kebakaran telah merebak di kawasan atas (bukit) melibatkan keluasan kira-kira dua hektar,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Katanya, sehingga jam 7.30 malam, kerja-kerja pemadaman masih dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai yang dibantu anggota dari BBP Kamunting.
Ujarnya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi negara berada dalam musim Monsun Barat Daya (MBD) yang telah bermula 15 Mei lalu dan dijangka berakhir pada pertengahan September hadapan.
“Dalam tempoh ini, pembentukan awan hujan kurang berlaku dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada bulan Julai hingga September.
“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Operasi diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Noor Syamsi Zainoldin.
#cuaca panas #kebakaran hutan #bukit semanggol #bomba
;