Cuaca panas: Kurangkan aktiviti fizikal dan luar bangunan - KKM

Bernama
Mac 21, 2019 05:29 MYT
Orang ramai dinasihat lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, antara lain mengurangkan aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask), payung dan topi sekiranya berada di luar.
"Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.
"Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar," katanya.
Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Khamis, terdapat 11 kawasan di enam negeri dilapor berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap Satu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.
Kawasan ini ialah Chuping di Perlis; Pendang, Sik, Kota Setar (Kedah); Hulu Perak dan Kinta (Perak); Jerantut (Pahang); Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan); dan Tangkak di Johor.
Semalam, Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan berpunca daripada beberapa kejadian kebakaran hutan dan belukar sebelum ini.
-- BERNAMA
#aktiviti fizikal #aktiviti luar #cuaca panas #Dr Noor Hisham Abdullah #gelombang haba #hidrasi #Jabatan Meteorologi #jerebu #kebakaran hutan #Kementerian Kesihatan #kualiti udara #minum air kosong #pencemaran udara #penutup hidung dan mulut #rumah
;