Cuaca panas: Kes kebakaran terbuka meningkat sejak April - Bomba

Azyyati Ahmad
Mei 4, 2023 12:30 MYT
Datuk Edwin Galan Teruki, bulan April menunjukkan peningkatan kes yang ketara iaitu sebanyak 2,220 kes.
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 6,326 kes kebakaran terbuka sejak Januari hingga April lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Edwin Galan Teruki, bulan April menunjukkan peningkatan kes yang ketara iaitu sebanyak 2,220 kes.
Katanya, dari Januari sehingga Mac, negeri-negeri utama yang terlibat dengan kebakaran terbuka adalah Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Sebanyak 20 lokasi utama kebakaran tanah gambut telah dikenal pasti melibatkan negeri-negeri seperti Selangor, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan Kelantan.
“Manakala, jumlah panggilan yang diterima bomba untuk kes kebakaran dan penyelamatan dari Januari sehingga Mac 2023 adalah sebanyak 31,108 panggilan,” katanya di sini.
Kata Edwin, cuaca hujan di sebelah petang sedikit sebanyak membantu meredakan kebakaran terbuka yang berlaku ketika ini.
Taksiran kerugian setakat Mac 2023 berjumlah RM842.3 juta, manakala taksiran harta benda diselamatkan adalah sebanyak RM5.5 bilion.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tahap keselamatan kebakaran berada dalam keadaan terbaik.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia susulan cuaca panas mencecah suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
#JBPM #cuaca panas #kebakaran terbuka #peningkatan kes
;