Cuaca panas, kering: JPBN Sarawak akan bermesyuarat - Uggah
Bernama
April 16, 2023 06:00 MYT
April 16, 2023 06:00 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan bermesyuarat tidak lama lagi berikutan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah, yang juga Pengerusi JPBN berkata mesyuarat itu akan memberi tumpuan perbincangan dan usaha pencegahan kejadian jerebu.
"Musim landas (monsun) sudah berakhir dan sejak minggu lalu kita mengalami cuaca panas dan kering. Jadi, kita ingin memberi amaran kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian untuk memantau dengan teliti semua kawasan panas dan berpotensi di bahagian masing-masing.
"Mereka mesti sentiasa bersiap siaga... untuk membuat persediaan sewajarnya dalam menangani kejadian kebakaran dan masalah lain yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Ahad.
Beliau juga berharap rakyat dan pihak industri perladangan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.
"Sentiasa padamkan api yang anda nyalakan di kebun, ladang atau sebelum anda pulang.
"Semakin panjang musim kemarau, kayu dan sisa tumbuh-tumbuhan akan menjadi sangat mudah terbakar dan kebakaran kecil sebenarnya lebih berbahaya kerana ia boleh bertukar menjadi besar, terutama di kawasan tanah gambut," tambahnya.
-- BERNAMA