Cuaca panas, kering, El Nino, elak pembakaran terbuka - Nik Nazmi

Afiezy Azaman
Februari 23, 2024 10:25 MYT
Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, Nik Nazmi mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pembakaran terbuka. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,043 aduan kes pembakaran terbuka diterima dengan pembakaran sampah sarap merupakan yang tertinggi, iaitu 715 kes, sejak 1 Jan hingga 19 Feb lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat dua kes kebakaran berskala besar melibatkan kawasan hutan simpan di Kuala Penyu, Sabah dan kawasan ladang di Chuping, Perlis, baru-baru ini.
"Kebakaran ini berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi dan kerajaan negeri terlibat telah diminta mempertingkatkan tindakan pencegahan kebakaran bagi mengelak kejadian serupa berulang.
"Jabatan Alam Sekitar juga mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 79 arahan di lapangan, lima kompaun, 12 notis arahan dan 666 pemantauan berkaitan pembakaran terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, Nik Nazmi mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pembakaran terbuka.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah.
"Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan," ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan bersedia menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino dengan beberapa perkara dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) semalam.
Antaranya, NRES, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.
Selain itu, NRES, jabatan dan agensi berkaitan juga akan mengambil tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
"Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan, tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.
"NRES dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan 'whole of government approach' bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram serta menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam," ujarnya.
Negara kini sedang berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung bulan Mac 2024.
Dalam fasa ini, taburan hujan akan berkurangan, menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering.
Pada masa sama, fenomena El Nino dengan intensiti kuat sedang melanda dunia, dijangka menyebabkan suhu maksimum harian negara lebih tinggi dan cuaca lebih panas serta kering berbanding biasa.
Fenomena ini dijangka berlarutan sehingga suku tahun kedua 2024 sementara peralihan El Nino Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun 2024.
Monsun Barat Daya pula akan bermula pada Mei sehingga September 2024 dan negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat.
Mengulas mengenai isu jerebu rentas sempadan, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan memperkemas strategi, mengukuhkan kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN melalui penglibatan aktif dalam siri mesyuarat di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan pada Jun dan Oktober tahun ini.
"NRES juga akan meneroka peluang mewujudkan kerjasama dua hala bersama negara jiran bagi menangani isu jerebu merentas sempadan.
"NRES sedang meneliti mekanisme terbaik yang merangkumi langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta keperluan penggubalan instrumen perundangan bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan secara efektif dan holistik.
"Perkara ini akan dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaannya," jelasnya.
#kualiti udara #kebakaran hutan #pembakaran terbuka #Nik Nazmi Nik Ahmad
;