Cuaca panas: Jabatan Kesihatan Kelantan bincang dengan beberapa agensi
Bernama
Mei 3, 2023 16:01 MYT
Mei 3, 2023 16:01 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi pengurusan bencana negeri berikutan fenomena cuaca panas yang melanda ketika ini.
Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata perbincangan itu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Penerangan Kelantan, Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Menurutnya pertemuan dengan beberapa agensi berkenaan itu bagi mengetahui langkah yang boleh diambil oleh setiap agensi untuk berdepan dengan cuaca panas ini yang dijangka berlarutan sehingga Ogos.
"Sebagai contoh, menerusi pertemuan semalam JPN telah memberi penerangan mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh jabatannya memandangkan situasi sekarang mempunyai amaran tahap 1,2,3 dan 4 dengan langkah yang tertentu perlu diambil.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan penerangan yang diberikan. Bagaimanapun, dari segi skop JPN ia bukan hanya melibatkan jabatan namun ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memastikan anak mereka tidak terdedah kepada pancaran matahari dalam tempoh yang lama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pihaknya kini sentiasa memantau dari semasa ke semasa penyakit yang berkaitan cuaca termasuk kelesuan haba atau strok haba sekali gus bagi mengelakkan pertambahan kes kematian disebabkan strok haba.
"Bagaimanapun, setakat ini kita hanya mengesan dua kes yang berlaku pada akhir April lalu berikutan cuaca panas yang melanda kini. Oleh itu, kita ingin menasihatkan masyarakat untuk terus kekal mengambil langkah pencegahan.
"Mereka yang terpaksa berkerja di lapangan selain terdedah dengan pancaran matahari dalam tempoh yang lama perlu berwaspada selain mengambil langkah perlindungan diri seperti menggunakan payung, topi dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Klinik Kesihatan Balai, Bachok, minggu lepas.
-- BERNAMA