Cuaca panas, hujan sekejap-sekejap galakkan pembiakan nyamuk, kata pakar
Bernama
Mac 6, 2014 14:13 MYT
Mac 6, 2014 14:13 MYT
Hujan sekejap-sekejap dan cuaca panas boleh meningkatkan kadar pembiakan nyamuk selain mempercepatkan kitaran hidup serangga itu, kata pakar.
Ketua Unit Entomologi di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia Dr Lee Han Lim berkata situasi sedemikian amat kondusif untuk nyamuk membiak dan larva pula dapat membesar di tempat pembiakan kerana tiada hujan lebat yang dapat menghanyutkannya.
Katanya cuaca panas pula menjadikan proses pembiakan nyamuk lebih cekap kerana keadaan itu mempercepatkan kitaran hidup serangga berkenaan.
"Jika hujan lebat sentiasa berlaku, wabak denggi jarang terjadi kerana nyamuk Aedes tidak dapat membiak secara berkesan. Akan tetapi keadaan hujan yang sekejap-sekejap menggalakkan pembiakan serangga itu.
"Nyamuk ambil masa untuk membiak, sekurang-kurangnya dua ke tiga minggu, dan perlu tempoh tertentu sebelum menyebarkan (virus) denggi," katanya kepada Bernama di luar pelancaran Jubli Emas Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM) serta Kongres Perubatan Tropika dan Parasitologi Asean Keenam, di sini.
Kongres selama tiga hari itu dianjur oleh MSPTM bersempena sambutan ulang tahunnya dan dihadiri oleh 420 peserta dari 43 negara.
Bertemakan 'Cabaran Global Menghadapi Penyakit Tropika: Merapatkan Jurang dan Membangunkan Perkongsian', kongres berkongsi pengalaman dunia sebenar pakar mengenai cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dan negara lain sekarang berikutan perubahan dinamik dalam penyebaran penyakit dan epidemiologi di kawasan tropika.
Antara penyakit yang dibincangkan ialah denggi dan malaria.
Dr Lee berkata memandangkan belum ada vaksin yang berkesan untuk denggi, kerjasama masyarakat dan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mencegah denggi amat penting.
Malah, pihak seperti pemaju perumahan dan arkitek boleh memainkan peranan dengan memastikan reka bentuk bangunan tidak menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes, katanya.
"Berdasarkan kajian kami, denggi berkaitan dengan kawalan vektor, justeru masyarakat mesti menjaga kebersihan persekitaran," katanya menambah mereka akan menjalankan lebih banyak kajian untuk mengawal populasi nyamuk.
Pandangan itu dikongsi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman yang berkata bilangan kes denggi yang tinggi sekarang menuntut masyarakat agar lebih berwaspada dan memastikan persekitaran mereka bersih serta bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.
Menurutnya cuaca panas menyebabkan nyamuk Aedes cepat lapar dan lebih kerap menggigit manusia untuk mendapatkan darah yang merupakan makanan mereka.
"Orang ramai harus meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai wabak tropika seperti denggi dan malaria. Ini akan membantu mereka mengambil langkah sewajarnya," katanya.
Penyelidik Perunding di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Datin Dr Indra Vythilingam pula menasihati mereka yang mengunjungi kawasan wabak malaria serta hutan dan tempat rekreasi misalnya, perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin jika berasa tidak sihat dan memaklumkan kepada doktor mengenai tempat yang dilawati.
Ini kerana kata pakar malaria itu ada ubat untuk penyakit berkenaan dan doktor mungkin tidak mengesyaki pesakit dijangkiti malaria jika mereka tidak dimaklumkan mengenai tempat yang dikunjungi pesakit.