Cuaca panas di semenanjung tempias Taufan Trami
Sinar Harian
Oktober 25, 2024 09:10 MYT
Oktober 25, 2024 09:10 MYT
PUTRAJAYA: Cuaca panas Tahap 1 yang berlaku di tujuh kawasan di Semenanjung disumbang oleh dua faktor.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tangang berkata, kawasan Malaysia didominasi fasa kering Ayunan Madden-Julian (MJO) yang mana keadaan ini menghalang perolakan dan mengurangkan pembentukan awan dan penurunan hujan.
“Pengurangan litupan awan meningkatkan pancaran matahari dan meningkatkan jumlah haba yang diserap oleh permukaan bumi dan ketiadaan hujan mengurangkan kesan penyejukan,” katanya.
Ujarnya, faktor kedua yang boleh menyumbang adalah kesan Taufan Trami.
“Disebabkan Taufan Trami, kelembapan diangkut ke bahagian timur ke arah taufan menjadikan kawasan di sebelah barat kekurangan kelembapan, kurang litupan awan dan keadaan panas," ujar beliau.
Sementara itu, pakar meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, ribut petir dan fenomena hujan batu boleh berlaku tanpa taufan.
Menurutnya, hujan batu bukan fenomena luar biasa dan ia dikaitkan dengan kejadian ribut petir.
“Sekiranya ribut petir bersifat tinggi di bahagian atas ribut suhu kurang dari 0 darjah Celsius, jadi air bersifat ais,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu mendorong benih iaitu titisan air dibawa naik ke bahagian lebih tinggi di dalam atmosfera di mana suhu sangat rendah, membekukan titisan air tersebut menjadi ais.
“Apabila ketulan ais itu terlalu berat untuk dibawa oleh arus udara, ia akan jatuh ke permukaan bumi sebagai hujan batu,” jelas Azizan.
Ditanya sama ada kejadian alam itu berkait dengan Taufan Trami, Azizan tidak menolak perkara tersebut walaupun tumpuan lebih ke utara dan di tengah Laut China Selatan.
“Kesan perkembangan Taufan Trami ada pengaruhnya,” katanya.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas Tahap 1 iaitu berjaga-jaga membabitkan Larut, Matang dan Kuala Kangsar di Perak; Gombak dan Petaling di Selangor; Wilayah Persekutuan Putrajaya; serta Maran dan Temerloh di Pahang.
Suhu maksimum harian di kawasan tersebut sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - Sinar Harian