Cuaca panas: Bomba Terengganu sedia hadapi ancaman kebakaran hutan
Bernama
Mac 14, 2016 08:00 MYT
Mac 14, 2016 08:00 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersedia menghadapi ancaman kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Pengarahnya Azlimin Mat Noor berkata antara lokasi sering berlaku kebakaran ialah kawasan hutan dan tanah gambut di Kampung Tok Kah di Dungun, Lembah Bidong, Setiu dan kawasan hutan di Kerteh, Kemaman.
Beliau berkata pihaknya akan memberi lebih tumpuan dan memperluaskan pemantauan di kawasan Kampung Tok Kah yang saban tahun terbakar membabitkan keluasan kira-kira 500 hektar.
"Bagi menghadapi kebakaran hutan ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains, juga telah membina 16 kolam takungan dan empat parit jejari untuk mengatasi masalah itu.
"Kita percaya dengan kolam takungan melalui peruntukan dari JPS bernilai RM1.2 juta itu mampu membekalkan air bagi memudahkan tugas bomba sekiranya berlaku kebakaran di situ," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan hutan Kampung Tok Kah, pada semalam.
Azlimin berkata pihaknya turut menerima pelbagai peralatan dan bantuan logistik yang mencukupi daripada ibu pejabat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan masalah itu.
Katanya antara bantuan peralatan yang diterima termasuk pam air, kenderaan serba guna dan pelbagai peralatan sokongan lain bagi memastikan proses memadam kebakaran berjalan lancar.
Selain pemantauan berkala di kawasan tanah gambut dan hutan, beliau berkata pihaknya turut membuat pemantauan di kawasan semak dan hutan di sepanjang jalan utama dari Kemaman ke Besut.
"Kita akan memantau setiap masa dan sekiranya kebakaran berlaku, kita akan terus bertindak bagi mengelak kebakaran itu merebak dan menjadi lebih buruk," katanya.
Azlimin pada masa sama turut meminta kerjasama penduduk agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membantu bomba mengesan mereka yang melakukan aktiviti tersebut.