Cuaca panas: Bomba rekod lebih 200 kes kebakaran terbuka di Kelantan
Bernama
April 14, 2024 16:45 MYT
April 14, 2024 16:45 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan merekodkan 232 kes kebakaran terbuka dalam tempoh lapan hari sejak 4 April lepas berikutan cuaca panas atau pembakaran terbuka oleh individu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata 38 lokasi panas kebakaran terbuka dikenal pasti melibatkan 12 lokasi di Pasir Puteh, lapan di Bachok dan masing-masing enam lokasi di Pasir Mas, Kota Bharu serta Gua Musang.
Beliau berkata secara keseluruhan bomba menerima laporan 752 kes kebakaran terbuka dalam tempoh empat bulan bermula Januari lepas, yakni satu jumlah yang agak tinggi memandangkan sepanjang tahun lepas 814 kes kebakaran terbuka dicatatkan di Kelantan.
"Bomba menerima panggilan kecemasan hampir setiap hari berhubung kebakaran terbuka," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagi mengurangkan masalah kebakaran terbuka, beliau berkata pihaknya sering menjalankan rondaan serta memberi khidmat nasihat kepada orang awam mengenai bahaya kebakaran terbuka, selain turut mengawal cuti anggota bagi tujuan penugasan.
-- BERNAMA