Cuaca panas, bil elektrik naik berganda
Sinar Harian
Mei 1, 2023 08:30 MYT
Mei 1, 2023 08:30 MYT
SHAH ALAM: Gelombang cuaca panas di Malaysia sememangnya memberi kesan kepada orang ramai dan turut menyebabkan bil elektrik mereka naik sekali ganda.Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk terpaksa menggunakan kipas dan penyaman udara dengan lebih kerap bagi meredakan bahang panas yang sedang melanda ketika ini.
Peniaga, Nor Hidayati Mohd Azmi, 41, berkata, bil elektrik meningkat kerana penggunaan kipas dan penyaman udara yang lebih kerap berbanding sebelum ini bagi meredakan bahang panas.
“Sejujurnya saya tidak terkejut apabila bil elektrik pada bulan ini naik sekali ganda iaitu sebanyak RM200 kerana kebelakangan ini cuaca terlampau panas, jadi saya terpaksa menggunakan penyaman udara untuk keselesaan keluarga.
“Dahulu, saya hanya pakai penyaman udara pada waktu malam sahaja iaitu ketika mahu tidur tetapi kini saya menggunakannya sepanjang masa dan di setiap ruang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Nor Hidayati, dia sememangnya menitikberatkan penggunaan elektrik kerana tidak mahu membazir, namun dengan keadaan cuaca yang terlampau panas kini menyebabkan dia terpaksa mengetepikan soal pembaziran kerana tidak mahu dihimpit masalah kesihatan seperti strok haba.
Suri rumah, Nor Fatihah Sudin, 43, pula berkata, dia turut berhadapan dengan masalah peningkatan bil elektrik sebanyak lebih daripada 50 peratus sewaktu cuaca panas ini.
Nor Fatihah berkata, sebelum ini dia tidak menggunakan penyaman udara kerana khuatir bil elektrik meningkat dan menyebabkan perbelanjaan bulanan bertambah.
“Namun memandangkan cuaca terlampau panas, ia menyebabkan penggunaan penyaman udara itu menjadi satu keperluan.
“Bukan itu sahaja, saya juga mendapati peningkatan bil elektrik ini menjadi satu beban baharu yang tidak dapat saya elak,” ujarnya.
Bagi suri rumah, Hamidah Jaafar, 43, gelombang cuaca panas menyebabkan kos perbelanjaan bulanannya turut meningkat.
“Peningkatan jumlah bil elektrik pada bulan ini menyebabkan saya terpaksa membuat pengiraan semula bagi perbelanjaan bulanan supaya tidak timbulnya isu kekurangan wang,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga, Afiq Izzuddin Khan Mohamed Noor Khan, 25, pula berkata, bil elektrik pada bulan ini naik mendadak kerana cuaca panas dan disusuli dengan sambutan hari raya.
"Sebagai tuan rumah sudah tentu saya mahu tetamu yang hadir ke kediaman berasa selesa dan tidak merungut panas akibat bahang cuaca," jelasnya.
Suri rumah, Diza Sabaruddin, 43, turut berhadapan dengan peningkatan bil elektrik yang begitu ketara kerana menggunakan penyaman udara sepanjang hari.
"Bil elektrik memang naik mendadak sekali ganda berbanding bulan lepas.
"Saya sudah jangka caj bil elektrik akan luar biasa kerana dengan bahang cuaca panas ini menyebabkan saya menggunakan penyaman udara lebih kerap dan sepanjang masa," ujarnya. - Sinar Harian