Cuaca panas berangin cetus kebakaran belukar di Bandar Tasik Puteri

Astro Awani
Jun 20, 2019 13:35 MYT
Api yang marak dengan cepat melingkari hampir setengah ekar kawasan tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk.
Cuaca panas dan berangin mencetuskan kebakaran di belukar berhampiran tadika dan kawasan perumahan di Blok Birch, Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.
Kebakaran bermula kira-kira jam 7 petang ketika penduduk baru pulang dari kerja dan sedang berehat di rumah.
Api yang marak dengan cepat melingkari hampir setengah ekar kawasan tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan pasukan Bomba Sukarela Bandar Tasik Puteri (BTP) dikejarkan ke tempat kejadian.
Ahli Majlis Zon 18 Majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS), JC Jess Choy Pooi Yee ketika ditemui berkata, beliau mendapat panggilan dari pasukan bomba sukarela BTP pada jam 8.50 malam, sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Berlaku kebakaran serius di hutan atas bukit, jadi ini biasa berlaku kebakaran macam ni adalah di sebabkan kebakaran akibat pembakaran haram atau yang punca rokok
“Jadi saya menasihatkan kepada semua orang awam jangan buat pembakaran haram dan saya ingin berterima kasih pada Bomba Batu Arang bertindak dengan pantas dan juga team sukarelawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, tindakan pantas dan menyediakan trek halangan berjaya menyekat api dan memadamkan api sepenuhnya 30 minit kemudian.
“Bila sampai di lokasi kita mendapati kebakaran melibatkan hutan yang berbukit dan juga kelapa sawit dan anggota bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos 3 kaki,” tambahnya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok merata rata khususnya di kawasan rumput kering.
#Bandar Tasik Puteri #Blok Birch #cuaca panas #kebakaran belukar #pembakaran haram #puntung rokok #Rawang
;