Cuaca mendung dan hujan renyai tidak halang kemeriahan Aidiladha

Bernama
Oktober 15, 2013 13:59 MYT
Cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa tempat di sebelah pagi di ibu negara hari ini tidak menghalang umat Islam untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum melakukan ibadah korban.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agung Tuanku Hajah Haminah menyertai kira-kira 15,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda berdua sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra.
Turut sama menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Mereka bersama lebih 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Abdul Manaf Mat.
#solat sunat Aidiladha
;