Cuaca mencabar menunggu kapal Fugro dalam mencari MH370

Bernama
Ogos 26, 2015 23:13 MYT
JACC: Cuaca diramal semakin buruk pada minggu akan datang, dengan angin bertaraf ribut dan ombak setinggi enam hingga tujuh meter dijangka berlaku. - Gambar Fail
Dua kapal Fugro yang meredah selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Malaysia Airlines, dijangka berdepan dengan cuaca mencabar pada minggu akan datang, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).
"Cuaca diramal semakin buruk pada minggu akan datang, dengan angin bertaraf ribut dan ombak setinggi enam hingga tujuh meter dijangka berlaku," kata JACC dalam kenyataan hari ini.
Menurut pusat itu, usaha mencari Penerbangan MH370 akan diteruskan hingga ke musim sejuk, walaupun mungkin dihentikan sekali sekala.
Agensi itu berkata, kapal Fugro Discovery akan mengisi semula bekalannya di pelabuhan Freemantle, Australia, pada pertengahan September, manakala sebuah lagi kapal, Fugro Equator, akan mendapatkan semula bekalannya pada hujung September.
"Setakat ini, pencarian yang dilakukan meliputi kasawan dasar laut seluas lebih 60,000 kilometer persegi," kata JACC.
BACA: Mesyuarat tentukan semula kawasan pencarian MH370 dijangka September - Jailani
BACA: JACC akhirnya sahkan flaperon dari MH370
Pada 6 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa satu serpihan sayap kapal terbang yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis di Lautan Hindi pada Julai berasal daripada MH370 dan ini menyokong kesimpulan terdahulu bahawa pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi kira-kira-kira 17 bulan lepas.
Penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.
#Fugro #jacc #MAS #MH370 #penerbangan Malaysia
;