Cuaca di Pulau Pinang semakin baik - Chow
Bernama
September 20, 2024 16:31 MYT
September 20, 2024 16:31 MYT
BUTTERWORTH: Keadaan cuaca yang semakin baik dan cerah hari ini dijangka dapat membantu keadaan banjir di Pulau Pinang pulih.
Banjir yang melanda negeri itu sejak Selasa lepas menyaksikan ratusan orang dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya menjangkakan cuaca yang semakin pulih akan menyumbang kepada penutupan PPS dalam tempoh sehari dua lagi.
"Dari laporan, masih ada PPS yang beroperasi dan kita lihat keadaan perubahan cuaca semakin pulih, dijangka pusat-pusat itu (PPS) boleh henti operasi dalam sehari dua lagi.
"Mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS diberikan bantuan seperti biasa iaitu bantuan makanan dan minuman, tempat rehat serta tempat tidur dalam khemah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chow ditemui selepas merasmikan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini hari ini.
Terdahulu Bernama melaporkan sebuah lagi PPS di Pulau Pinang ditutup, menjadikan jumlah mangsa banjir menurun kepada 553 orang menjelang 1.22 tengah hari ini berbanding 578 pagi tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di tutup pagi tadi selepas rumah penduduk yang terjejas banjir telah pulih sepenuhnya.
Laporan itu menyatakan ketika ini 151 keluarga mangsa banjir di Pulau Pinang ditempatkan di tujuh PPS di Seberang Perai Utara (SPU), SPT dan Seberang Perai Selatan (SPS).
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow
#cuaca di Pulau Pinang
#ekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang
#Banjir 2024