Cuaca buruk, hujan lebat turut disebabkan fenomena La Nina - Pakar
Bernama
Oktober 5, 2020 17:01 MYT
Oktober 5, 2020 17:01 MYT
KUALA TERENGGANU: Hujan lebat dan ribut petir yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negara ini bukan sahaja disebabkan fasa peralihan monsun, malah turut disumbangkan oleh fenomena La Nina.
Bagaimanapun Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata, fenomena La Nina yang kini melanda rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, dikategorikan sebagai tahap sederhana.
"Ia adalah sebahagian fenomena maritim yang berkait dengan penurunan suhu permukaan air laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik. Jadi dengan penurunan suhu itu, angin yang bertiup daripada kawasan Lautan Pasifik ke arah kita (Asia Tenggara), semakin kuat dan itu akan meningkatkan kadar kelembapan serta meningkatkan jumlah curahan hujan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di Labuan dan beberapa daerah di Sabah bermula hari ini hingga esok, selain beberapa negeri utara Semenanjung - Perlis, Kedah dan Pulau Pinang - dari Rabu hingga Jumaat.
Fredolin berkata, fenomena La Nina yang kebiasaannya berlaku sekali dalam tempoh tiga hingga lima tahun itu, mula melanda negara sejak beberapa bulan lepas dan ia akan berterusan sehingga hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Hujan lebat akibat fasa peralihan monsun dan fenomena La Nina hingga boleh menyebabkan banjir kini lebih dirasai penduduk di sesetengah kawasan, terutama Lembah Klang dan Sabah.
"Terengganu agak kurang menerima kesan peralihan monsun tetapi Pantai Timur amnya, akan merasai hujan yang lebih lebat hingga menyebabkan banjir pada musim tengkujuh yang kebiasannya berlaku pada hujung tahun," katanya.
Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, mengingatkan para penduduk supaya berhati-hati terhadap kemungkinan kemunculan binatang berbisa ke kawasan penempatan, kerana habitat asal binatang itu yang ditenggelami air ekoran hujan lebat yang lebih kerap berlaku kini.
"Sebagai contoh pada Sabtu lepas seekor buaya tembaga seberat 70 kilogram, muncul di kawasan lombong tinggal di Kampung Ladang Sentosa di Kuala Nerus, dengan buaya itu berjaya ditangkap oleh sekumpulan pemancing," katanya.
Dalam pada itu Che Adam berkata tahap kesiapsiagaan 319 pegawai dan 2,610 anggotanya untuk menghadapi fasa peralihan monsun dan musim tengkujuh kini berada pada tahap terbaik.
"Sekiranya berlaku banjir, kita akan gerakkan 50 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian dalam tempoh satu jam yang pertama (banjir berlaku), dan enam jam berikutnya kita boleh hantar 150 pegawai dan anggota pula," katanya.
Dari segi aset pula, sebanyak 421 kenderaan dan jentera penyelamat termasuk ambulans, van dan bot, telah siap dikemas kini dan diselenggara.
-- BERNAMA
#Pantai Timur
#hujan lebat
#cuaca buruk
#banjir
#ribut petir
#Asia
#Malaysia
#La nina
#peralihan monsun