Cuaca buruk, helikopter bawa Ketua Menteri Sarawak mendarat cemas di Padang Kawad UNIMAS
Assim Hassan
Disember 18, 2021 17:19 MYT
Disember 18, 2021 17:19 MYT
KUCHING: Ekoran cuaca buruk dan hujan lebat, helikopter membawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuat pendaratan cemas di Padang Kawad Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Astro AWANI berkata, Abang Johari mendarat di Padang Kawad UNIMAS itu pada jam 2.45 petang.
Menurutnya, helikopter milik Hornbills itu dalam perjalanan dari Gedong ke Kuching.
"Helikopter yang membawa Ketua Menteri Sarawak mendarat di Padang Kawad UNIMAS kerana cuaca buruk pada jam 2.45 petang.
"Mereka kemudian meneruskan perjalanan dari Kota Samarahan ke Kuching menggunakan jalan darat," katanya.
Pagi tadi, Abang Johari dan isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang membuang undi di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS pada jam 10.05 pagi.
Abang Johari yang bertanding di Kerusi DUN Gedong kemudiannya dikatakan melawat pusat pengundian di DUN tersebut sebelum pulang semula ke Kuching.