Cuaca buruk di Pulau Pinang, tiga penerbangan dilencongkan
Bernama
November 4, 2017 20:43 MYT
November 4, 2017 20:43 MYT
Tiga penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa berpatah balik dan dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) berikutan cuaca buruk hari ini.
Pengurus Kanan LTAPP Ramzi Ahmad berkata tiga penerbangan termasuk satu daripada luar negara itu, tidak dapat mendarat di LTAPP kerana hujan lebat dan angin kuat pada 4.30 hingga 6 petang tadi.
"Satu penerbangan dari KLIA terpaksa berpatah balik manakala dua penerbangan dari KLIA dan Singapura dilencongkan ke LTAL dan selamat mendarat di sana," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata sekurang-kurangnya empat penerbangan dari LTAPP tidak dapat berlepas ke destinasi masing-masing berikutan masalah cuaca itu.
Katanya operasi di LTAPP masih berjalan lancar dan setakat ini lapangan terbang itu tidak dilanda banjir walaupun hujan lebat di Pulau Pinang sejak 2 petang tadi sehingga menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini berdepan banjir kilat.
Sehingga 7 petang ini, masih terdapat beberapa penerbangan terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk di Pulau Pinang.
Beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 0.5 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat lebih lima jam bermula 2 petang ini.
Sehingga 7.30 malam ini, hampir 80 kawasan di negeri ini ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.
-- BERNAMA