Cuaca buruk dan air pasang di Sabah, bomba nasihat penduduk berwaspada

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 22, 2022 07:40 MYT
Pihak bomba sedang berusaha menyelamatkan mangsa yang terkandas di Sri Aman Kudat. - Foto JBPM
KOTA KINABALU: Susulan cuaca buruk dan kejadian air pasang besar yang berlaku di sekitar Pantai Barat Sabah pada petang Khamis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah mengingatkan orang awam di negeri itu agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah ke tempat lebih selamat sekiranya perlu.
Merujuk video tular limpahan air pasang luar biasa di jalan raya di Tanjung Lipat, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) JBPM Sabah, Misran Bisara berkata, perkara sedemikian telah dijangka lebih awal sementara pihak bomba kini menurut beliau sedang giat memantau keadaan di setiap kawasan titik panas banjir di negeri itu.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim dan orang awam agar menangguhkan sebarang aktiviti berdekatan pantai dan sungai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku selain mengambil langkah keselamatan rapi bagi nelayan yang mempunyai keperluan mendesak untuk turun ke laut.
"Nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan berwaspada dan menangguhkan dahulu aktiviti melibatkan perairan, susulan cuaca buruk di kebanyakan kawasan ketika ini dan berdasarkan kejadian-kejadian tidak diingini yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
"Keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora. Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot mudah terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat.
"Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut nelayan harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat.
"Mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Kecemasan 999", ujar Misran ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, Misran turut melaporkan tiga buah rumah masing-masing di Kampung Salimpodon Pitas, Sri Aman Kudat dan Tanjung Aru Baru turut musnah akibat dipukul ombak pada hari yang sama.
BACA: Air pasang luar biasa di Tanjung Aru, 11 rumah terjejas, 2 roboh dilanda ombak
Kesemua mangsa yang terlibat walau bagaimanapun katanya berjaya keluar dari tempat kejadian dan telah berpindah ke kawasan yang selamat.
Berdasarkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Khamis, Sabah dijangka mengalami hujan berterusan iaitu di kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, dan Beaufort), seluruh Pantai Barat, Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Tawau sehingga 26 Disember.
#banjir #air pasang besar #cuaca buruk #JBPM
;