CSR: Astro antara syarikat korporat terima pengiktirafan

Madiha Abdullah
Ogos 18, 2022 20:00 MYT
Toh berkata pengiktirafan itu menjadikan Astro semakin komited dalam Tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 syarikat korporat termasuk swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi kerajaan serta yayasan diberi pengiktirafan susulan kecemerlangan dalam menjayakan tanggungjawab sosial dan kemapanan.
Anugerah disampaikan dalam acara Anugerah Sustainability and CSR Malaysia 2022 di ibu negara, pada Khamis.
Antara syarikat yang menerima pengiktirafan ialah Astro, Bank Rakyat, Top Glove, Mah Sing, Celcom Axiata, KPJ Healthcare dan Alam Flora.
Kriteria penjurian adalah berdasarkan matlamat yang jelas syarikat berhubung inisiatif CSR, impak atau kepentingan, kekerapan, jumlah sumbangan, ketelusan pelaporan dan kekuatan pasukan.
"Astro pastinya berbesar hati kerana usaha kami dalam memperjuangkan pendidikan untuk semua, dari segi menjadi suara untuk kebaikan, mewujudkan komuniti yang mampan, serta perniagaan yang bertanggungjawab.
"Usaha kami telah diiktiraf oleh semua pihak yang berkepentingan. Dengan anugerah ini kami akan lebih terdorong dan komited dari segi perjalanan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat kami," kata Tammy Toh, Pengarah Jenama, Komunikasi dan Kelestarian Astro.
Acara ini dianjurkan oleh CSR Malaysia yang merupakan inisiatif di bawah naungan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia.
Dalam majlis yang sama, cek sumbangan berjumlah RM25 juta turut disampaikan oleh syarikat-syarikat korporat kepada beberapa pertubuhan kebajika.
#CSR #Astro #tanggungjawab sosial #anugerah #syarikat korporat
;