CSO rakan pelaksana kerajaan ketika pemulihan COVID-19 - Tengku Zafrul

Astro Awani
November 17, 2021 12:19 MYT
Tengku Zafrul berkata, CSO dikenal pasti sebagai rakan pembangunan utama kerajaan membolehkan pemulihan sosio-ekonomi yang lebih cepat dan mampan dalam usaha mengenalpasti keperluan masyarakat. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerjasama pertubuhan masyarakat sivil (CSO) sebagai rakan pelaksana kerajaan untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara dan Bajet 2022 ketika negara mendepani tempoh pemulihan COVID-19 membantu memperkasakan komuniti setempat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, CSO dikenal pasti sebagai rakan pembangunan utama kerajaan membolehkan pemulihan sosio-ekonomi yang lebih cepat dan mampan dalam usaha mengenal pasti keperluan masyarakat.
"CSO dan perusahaan sosial adalah pemegang taruh penting dalam perjalanan ke arah pemulihan negara. Ini kerana golongan ini lebih berkemampuan untuk mengakses keperluan masyarakat dengan lebih cekap serta dilihat mampu menyesuaikan diri dengan intervensi.
"Secara ringkasnya, masyarakat sivil adalah rakan pembangunan utama kerajaan," katanya ketika merasmikan Forum Hasanah 2021 yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Rabu.
Forum Hasanah 2021 yang berlangsung selama dua hari menampilkan 37 penceramah dan panelis yang terdiri daripada peneraju kepimpinan pemikiran global dan tempatan daripada pelbagai lapisan masyarakat, ahli akademik, pihak kerajaan serta masyarakat prihatin bagi menangani isu-isu utama, mempercepatkan keadilan dan kesaksamaan sosial dan ekonomi di Malaysia.
Forum tersebut dianjurkan pertama kalinya oleh Yayasan Hasanah yang merupakan sebuah yayasan berasaskan impak kendalian Khazanah Nasional Berhad.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, peranan masyarakat sivil yang disebut sebagai 'sektor ketiga' yang membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial ke arah kesejahteraan menjadi lebih ketara sejak awal penuralan COVID-19.
Menurutnya, pada tahun lalu, ketika angka kes COVID-19 memuncak, kerajaan melancarkan Geran Khas Hasanah 2020 (HSG2020) khusus untuk membantu golongan B40 dan komuniti terpinggir lain seperti pelarian, Orang Asli dan gelandangan.
"Usaha ini direalisasikan dengan kerjasama CSO terutamanya dalam bidang pendidikan selain serta menyalurkan bantuan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Menerusi kerjasama-kerjasama itu, beliau berkata,sebanyak RM50 juta HSG2020 diperuntukan yang membabitkan dua fasa.
Menurut Tengku Zafrul, sebanyak 110 projek berjaya dilaksanakan pada fasa pertama dan sebahagian besar daripadanya adalah bagi memastikan manfaat yang lebih mapan kepada masyarakat.
"Sehingga Ogos 2021, 110 projek itu memanfaatkan lebih 140,000 penerima yang turut membabitkan penjagaan dan pemeliharaan lebih 400 haiwan terancam.
"Kerajaan tidak sabar untuk meneruskan dan mengukuhkan lagi perkongsiannya dengan CSO untuk memanfaatkan kepakaran dan jangkauan mereka," ujarnya.
Sebagai mengiktiraf peranan CSO, beliau memberitahu, sebanyak RM100 juta lagi akan disediakan dalam bentuk geran padanan kepada yayasan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tahun depan.
Katanya, ia adalah bagi mengukuhkan perkhidmatan sokongan sosial seperti kesihatan mental, penjanaan pendapatan kepada golongan yang terkesan serta memelihara warisan budaya.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Forum Hasanah #Kementerian Kewangan #Khazanah
;