CrowdStrike: Agensi terbabit diarah nilai, bantu urusan tuntutan
Madiha Abdullah
Julai 24, 2024 19:23 MYT
Julai 24, 2024 19:23 MYT
PUTRAJAYA: Agensi yang terkesan dalam insiden gangguan teknologi maklumat (IT) global minggu lalu diminta membuat penilaian terhadap sebarang tuntutan yang dibuat pelanggan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pihak Microsoft dan meminta pihak terlibat untuk saling memudahkan bagi menguruskan sebarang implikasi kewangan yang timbul.
“Ada pihak yang telah menyatakan kebimbangan sama ada, jika mereka mengalami kerugian, mereka boleh buat tuntutan.
"Saya telah beritahu syarikat yang terlibat, jika ada tuntutan dikemukakan kepada anda untuk kerugian, anda perlu menilai dan cuba membantu setakat yang mampu.
“Jika kami mendapat soalan atau isu berbangkit dalam aspek tuntutan, kami juga akan menelitinya dan melihat apa yang boleh kami lakukan untuk membantu.
“Tetapi akhirnya ia kembali kepada kebimbangan mereka (yang terkesan), pihak yang bertanggungjawab dan apa yang mereka akan lakukan untuk menangani masalah itu, selepas ini,” katanya dalam sidang media khas, pada Rabu.
Gobind turut memaklumkan biarpun terdapat ancaman pancingan data (phishing) susulan insiden tersebut, tiada ketirisan berlaku membabitkan data dalam sistem agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Gobind memaklumkan sudah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes susulan kenyataannya berhubung pampasan yang sepatutnya diberikan pihak yang bertanggungjawab.
Tony sebelum ini berkata pihak yang bertanggungjawab terhadap gangguan itu sepatutnya proaktif dalam menyelesaikan isu yang timbul dan menawarkan pampasan kepada mereka yang terkesan.
“Saya telah bincang dengan Microsoft, mereka beritahu kita yang mereka dalam proses menyiapkan laporan penuh, jadi saya beri mereka masa.
“Apabila laporan itu siap, saya sudah minta salinan diberikan kepada kita. Tentang apakah tuntutan yang dibawa oleh AirAsia, saya rasa kita kena dengar dulu permintaan mereka sebab kita kena dengar penjelasan daripada mereka yang terlibat.
“Kalau apa yang berlaku itu menyebabkan kerosakan dan kehilangan dan mereka (AirAsia) mahu membuat tuntutan, itu perlu dipertimbangkan,” katanya lagi.