Creators IRL lancar strategi rintis, perangi penipuan, bahaya dalam talian
Kenyataan Media
Ogos 9, 2024 11:20 MYT
Ogos 9, 2024 11:20 MYT
DALAM satu kerjasama awam-swasta yang merentas industri, Kementerian Komunikasi, Meta Platforms, Inc. dan CelcomDigi dengan bangganya mengumumkan pelancaran program rintis, Creators IRL (In Real Life) yang bertujuan untuk menangani isu keselamatan dan penipuan dalam talian.
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi, Meta Platforms, Inc. dan CelcomDigi telah melancarkan program rintis, Creators IRL. Program ini bertujuan untuk menangani isu keselamatan dan penipuan dalam talian.
- Program ini dirancang untuk melengkapkan pencipta kandungan dengan pengetahuan, peralatan, dan pengalaman yang diperlukan untuk memerangi ancaman dalam talian dan menggalakan keselamatan digital.
- Creators IRL menyediakan geran sokongan berjumlah sebanyak RM80,000.00 untuk 10 pencipta kandungan terpilih, membolehkan mereka memanfaatkan sumber kewangan untuk menghasilkan kandungan berimpak tinggi yang dapat memacu perubahan terhadap isu keselamatan dalam talian.
Acara ini menghimpunkan lebih daripada 30 pencipta kandungan berpengaruh di Malaysia bersama pihak berkepentingan industri utama, dan menandakan permulaan usaha bersepadu untuk melengkapkan pencipta kandungan dengan pengetahuan, peralatan dan pengalaman untuk memerangi ancaman dalam talian dan menggalakan keselamatan digital.
Pelancaran acara ini memberikan gambaran sekilas tentang program felo untuk pencipta kandungan, menampilkan perbincangan panel dinamik dengan pakar yang berpengalaman dari Meta, CelcomDigi, dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum).
Panel tersebut telah mengupas isu kritikal yang membelenggu dunia digital seperti penipuan dan keselamatan kanak-kanak dalam talian, serta memberikan wawasan dan strategi berharga untuk melindungi pengguna dalam talian.
Susulan daripada panel tersebut, para hadirin mengambil bahagian dalam bengkel amali penciptaan kandungan yang dikendalikan oleh REV Media, yang menawarkan panduan praktikal dalam menangani isu keselamatan dalam talian yang serius melalui penciptaan kandungan berimpak secara kreatif untuk menarik minat penonton.
“Bukan sahaja ia penting untuk pencipta kandungan menyedari isu ini, tetapi mereka juga perlu diperkasakan untuk mengambil tindakan yang berkesan. Ketulenan kandungan adalah kunci, terutamanya dengan jenama yang mereka pilih untuk promosikan. Apabila pencipta kandungan benar-benar percaya pada sesuatu jenama, kandungan mereka adalah tulen dan mesej disampaikan dengan berkesan. Matlamat kami adalah untuk melibatkan pencipta kandungan bukan sahaja melalui perkongsian maklumat; tetapi juga untuk memupuk perubahan tingkah laku dan pemerkasaan pencipta kandungan dalam melakukan perubahan sosial,” tegas New Su Shern, Pengarah Eksekutif Ratio:Cause, sebuah agensi perubahan sosial yang melaksanakan program ini dan menumpukan kepada perubahan sosial dan tingkah laku melalui solusi yang boleh diskalakan.
Creators IRL, inisiatif andalan untuk Program Keselamatan Dalam Talian dan Anti Penipuan yang secara menyeluruh, direka untuk membina komuniti pencipta kandungan dinamik yang komited untuk menangani bahaya dalam talian. Inisiatif utama Creators IRL ialah sebuah program felo transformatif selama tiga bulan untuk 10 pencipta kandungan terpilih.
Pencipta kandungan akan berpeluang untuk mendalami teknik penciptaan kandungan mutakhir yang menekankan strategi tingkah laku dan keselamatan dalam talian daripada pakar industri terkemuka.
Mereka akan memperolehi pandangan praktikal melalui lawatan ke organisasi dan institusi utama yang terlibat dalam sfera digital, menjalin rangkaian dengan pegawai kerajaan, pemimpin korporat, dan rakan pencipta kandungan untuk membina hubungan dan perkongsian yang tidak ternilai.
Selain itu, program ini akan menyediakan geran sokongan berjumlah sebanyak RM80,000.00, yang membolehkan 10 pencipta kandungan terpilih untuk memanfaatkan sumber kewangan demi menghasilkan kandungan berimpak tinggi yang berupaya memacu perubahan terhadap isu keselamatan dalam talian.
Program felo yang menyeluruh ini akan memperkasakan pencipta kandungan untuk mengetengahkan daya kreatif mereka dan mencipta kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mempunyai impak yang mendalam demi menggalakkan keselamatan dalam talian.
“Meta bertekad untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan positif. Program Creators IRL mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam memperkasakan pencipta kandungan untuk bukan sahaja memahami isu keselamatan dalam talian, tetapi untuk mengambil langkah aktif dan berkesan untuk menanganinya. Kami teruja untuk menyaksikan impak transformatif program ini terhadap komuniti digital kami,” ujar Daniel Lim, Ketua Bahagian Dasar Awam di Meta Malaysia.
Philip Ling, Ketua Kelestarian di CelcomDigi berkata, “Sebagai sebuah syarikat yang memberi perkhidmatan kepada lebih 20 juta pelanggan, kami bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami, di samping memupuk persekitaran digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia. Demi menangani bahaya dan penipuan (scam) dalam talian, misi kami adalah jelas iaitu untuk BERTINDAK atau ACT (Awareness, Compliance, Technology), yakni untuk mewujudkan kesedaran, memacu pematuhan terhadap standard keselamatan yang tinggi di dalam syarikat di samping menyokong agensi penguatkuasa, serta memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membina perlindungan terhadap jenayah siber. Kami percaya bahawa tindakan berskala besar melalui usaha kerjasama seperti ini adalah kunci untuk membanteras epidemik sosial ini dan kami akan terus memperjuangkan pendekatan yang melibatkan keseluruhan masyarakat dalam memerangi pelbagai ancaman dalam talian dan scam dengan lebih efektif.”
"CMCF percaya bahawa ekosistem kandungan yang selamat dan berdaya maju mampu terhasil daripada kerjasama dan pendekatan semua pihak berkepentingan. Kami sentiasa menyarankan dialog terbuka mengenai isu-isu kritikal kerana ia bukan sahaja memupuk pemahaman dan inovasi tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin yang kuat untuk perubahan yang bermakna,” ujar Mediha Mahmood, CEO CMCF.
Pencipta kandungan yang berhasrat untuk melakukan perubahan dalam dunia digital dialu-alukan untuk merebut peluang ini dan menjadi sebahagian daripada program transformatif Creators IRL.
Hantarkan penyertaan anda di onlinesafetyirl.com untuk menjadi penggerak perubahan positif dalam komuniti digital!