Cradle Fund: Samirah kemuka bantahan kepada KWSP berhubung penama Nazrin - Saksi
Bernama
Mac 17, 2021 23:29 MYT
Mac 17, 2021 23:29 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan mengemukakan bantahan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung penamaan caruman kredit suaminya, dua minggu selepas kematian Nazrin.
Noor Hafizah Osman, 36, Pegawai Akaun KWSP di Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP pada tahun 2018, berkata berdasarkan rekod KWSP, penamaan bagi caruman kredit ahli KWSP bernama Nazrin Hassan dinamakan atas nama Eza Shafina Dzulkarnain, 47, yang dibuatnya pada 13 Januari 2011.
"Pada 28 Jun 2018, KWSP menerima bantahan penamaan daripada isteri si mati (Nazrin), Samirah Muzaffar di KWSP Cawangan Kuala Lumpur.
"Pada tarikh itu, Samirah mengemukakan surat bantahan atas nama beliau dan ditandatangani olehnya sendiri," katanya.
Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Samirah, 46, serta dua remaja lelaki masing-masing kini berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 dan jam 4 pagi 14 Jun 2018.
Noor Hafizah berkata, Samirah mengemukakan permohonan bantahan meminta supaya KWSP membekukan akaun suaminya berikutan wanita itu dalam proses mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah.
Katanya, lanjutan bantahan oleh Samirah, pihak KWSP pada 6 Julai 2018 melalui Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran mengeluarkan surat kepada wanita itu mencadangkan beliau memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi sekiranya ingin membantah pembayaran kredit si mati (Nazrin) kepada penama Eza Shafina dan juga mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi dalam tempoh 21 hari bekerja.
"Namun, pihak KWSP tidak dikemukakan sebarang saman pemula atau perintah injunksi daripada Samirah sehingga dimaklumkan kes kematian Nazrin disiasat sebagai satu kes bunuh," katanya.
Sementara itu, ketika disoal balas peguam LS Leonard, saksi itu berkata, sebagai seorang pegawai akaun menguruskan bantahan waris di KWSP, beliau sering menerima bantahan berhubung penamaan KWSP seperti dikemukakan Samirah.
"Bantahan begini satu perkara biasa. Tidak ada yang luar biasa," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung Isnin ini. - BERNAMA
#cradle fund
#Nazrin Hassan
#Mahkamah Tinggi
#CEO
#KWSP
#isteri
#samirah muzaffar
#penamaan
#penama
#Bantahan