CPTPP tidak beri kesan negatif kepada pertanian negara - MITI
Ridauddin Daud
Mac 1, 2023 11:50 MYT
Mac 1, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi kesan negatif kepada sektor pertanian negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Liew Chin Tong, berkata CPTPP yang diratifikasi pada 30 September tahun lalu menjamin hak dan kepentingan petani tempatan.
Menurutnya, perjanjian itu merupakan satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.
“Dalam hal ini, kerajaan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk barangan makanan agar ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.
“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan daripada melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam adalah tidak benar.
“Selain itu, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang didakwa memberi impak kepada sektor pertanian negara.
Tambah Liew, CPTPP juga tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian secara mendadak.
“Bagi tahun 2020, purata duti import bagi barangan pertanian adalah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi 2021.
“Pada masa sama, Malaysia diberi tempoh pelaksanaan lebih panjang iaitu 16 tahun lagi, bagi tujuan pengurangan dan penghapusan duti import, termasuk bagi barangan pertanian.
“Tambahan pula, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain di bawah CPTPP dan masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya.
Jelasnya, sektor pertanian termasuk komitmen berkaitan di dalam perjanjian FTA yang lain adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sama ada kerajaan bercadang meratifikasi FTA baharu dalam masa terdekat, Liew berkata, tiada sebarang perancangan untuk berbuat demikian buat masa ini.