CPR tanpa bantuan pernafasan mulut ke mulut?
Dr Sazwan Reezal Shamsuddin
Februari 16, 2019 09:18 MYT
Februari 16, 2019 09:18 MYT
BAYANGKAN anda sedang bersukan, berlari-lari mengelilingi taman. Kehijauan pohon-pohon bersama tasik yang tenang dan kicauan burung-burung menemani larian anda.
Sekian masa anda berlari tiba-tiba muncul rasa kurang selesa dalam diri. Rasa tidak puas dan sukar bernafas. Dada di bahagian kiri terasa berat umpama ditindih batu besar. Kepala rasa melayang dan pandangan anda semakin kabur.
Tiba-tiba jantung anda terhenti dan anda terjatuh di atas jalan. Persoalannya, adakah yang sudi membantu memberikan perawatan asas, Cardiopulmonary Resuscitation (CPR)?
Asasnya jantung berfungsi sebagai pam di dalam badan kita. Ia adalah organ yang memastikan bekalan darah dihantar ke seluruh badan. Darah yang dihantar mengandungi gas oksigen dan nutrien-nutrien yang diperlukan tubuh.
Otak hanya mempunyai masa lebih kurang empat minit selepas jantung berhenti mengepam, sebelum sel-sel otak mula mati dan tidak berfungsi.
Oleh itu, amatlah penting darah di dalam badan diusahakan di pam ke otak ketika keadaan yang kritikal ini melalui CPR. Setiap minit berlalu, maka ajal semakin hampir.
Tinjauan di Twitter mendapati hanya 35 peratus daripada 6,322 orang netizen akan memberi bantuan CPR sekiranya senario di atas berlaku.
Lebih ramai yang kurang pasti dan ada juga yang tidak akan memberikan bantuan. Ada juga yang merasa ragu risiko penyakit berjangkit melalui air liur ketika memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut.
Kini ada teknik bantuan CPR menggunakan tekanan dada sahaja yang lebih dikenali sebagai Hands Only CPR.
Teknik ini adalah bagus dipelajari oleh orang awam kerana ia memberikan penekanan kepada teknik asas CPR iaitu tekanan dada yang efektif.
Ini adalah teknik Hands Only CPR yang boleh diingati menggunakan huruf awalan DRSABCD:
a. Danger – memastikan mangsa dan penyelamat berada dalam keadaan yang selamat.
b. Respond – memeriksa tindakbalas mangsa dengan menggerakkan bahu mangsa.
c. Shout – memanggil bantuan dan jika keseorangan buat panggilan 999.
d. Airway – membuka saluran pernafasan dengan mendongakkan kepala pesakit.
e. Breathing – memeriksa pernafasan mangsa dan jika tiada pernafasan bermaksud jantung telah terhenti.
f. Chest compression- iaitu meletakkan tangan di separuh bawah dada mangsa dan mulakan tekanan dada.
g. Defibrillation- iaitu menggunakan peralatan Automated External Defibrillator (AED) jika ada.
Teknik konvensional CPR sebelum ini menganjurkan nisbah tekanan dada kepada bantuan pernafasan 30:2 iaitu 30 tekanan dada diikuti dua bantuan pernafasan. Mangsa dinilai nadi, perfasan dan tahap kesedaran selepas lima kitaran.
Hands Only CPR pula memberi penekanan kepada tekanan dada dengan kadar 100-120 kali tekanan seminit dan kedalaman tekanan dada sebanyak lima sentimeter (cm).
Setiap dua minit mangsa akan dinilai nadi, pernafasan dan tahap kesedaran.
Gambar menunjukkan meletakkan tangan di separuh bawah dada mangsa untuk memulakan tekanan dada semasa CPR.
Namun begitu, orang awam yang memberikan bantuan CPR biasa akan menghadapi masalah berkenaan kelajuan tekanan dada.
Adakala terlalu perlahan dan adakala terlalu laju melebihi kadar 100-120 kali tekanan seminit.
Kini ia bukan masalah lagi. Telah wujud applikasi yang bolen dimuat turun daripada Google Play Store.
Contohnya, applikasi Heart Compression Only membantu penyelamat memberikan tekanan dada dengan kadar yang betul.
Operator panggilan 999 juga bersedia membantu anda melakukan CPR. Arahan melalui telefon akan diberi untuk membantu penyelamat melakukan CPR dengan betul.
Ikhlas diakui, melakukan tekanan dada dalam CPR adalah sesuatu yang meletihkan. Sebaik-baiknya seorang penyelamat bertukar setiap dua minit melakukan tekanan dada.
Ini adalah untuk memastikan kualiti tekanan dada CPR yang diberikan adalah sentiasa berkualiti tinggi. Selepas berusaha melakukan CPR, tibalah masanya untuk menamatkan CPR.
Bantuan tekanan dada CPR ditamatkan apabila salah satu daripada perkara berikut berlaku, iaitu:
a. Mangsa kembali bernafas dan mempunyai nadi. Mangsa dibantu ke posisi pemulihan.
b. Penyelamat keletihan, biasanya apabila berseorangan memberi bantuan.
c. Petugas kesihatan tiba dan mengambil-alih tekanan dada, CPR.
Akhir kalam, pengetahuan bantuan tekanan dada CPR adalah asas dan perlu diketahui ramai.
Masyarakat seharusnya berusaha untuk mempelajari CPR kerana ia mungkin diperlukan di mana-mana sahaja tanpa disangka.
Banyak badan-badan dan persatuan-persatuan menganjurkan kursus CPR seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan St John Malaysia, Pertubuhan Resussitasi Pulau Pinang, Persatuan Perubatan Kecemasan dan Traumatologi Temerloh dan banyak lagi.
Saya berpendapat sudah tiba masa CPR diajar di peringkat sekolah dan pengajian tinggi agar lebih ramai rakyat Malaysia mampu membantu mangsa yang jantungnya terhenti. CPR untuk semua!
*Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy).
**Beliau boleh diikuti di Twitter melalui @drwaque. Informasi CPR di Twitter boleh diikuti melalui #MedTweetCPR
*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.