CPOPC desak WTO campur tangan isu diskriminasi minyak sawit - Tun Mahathir

Fareez Azman
November 19, 2019 12:46 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu menyampaikan ucapan pada perasmian Kongres Dan Pameran Minyak Sawit Antarbangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu negara pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Malaysia bersama Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan meminta campur tangan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang membantah serta diskriminasi perdagangan minyak sawit di Eropah.
Ujarnya lagi, usaha meningkatkan kempen kesedaran terhadap pihak berkepentingan di peringkat global mengenai perladangan kelapa sawit yang mampan sedang diteruskan.
Ia bagi menentang dakwaan palsu sesetengah pihak yabng membawa kepada diskriminasi oleh negara pengimport sawit.
“Walaupun usaha terbaik dari kami, jika sesetengah negara pengimport memilih untuk mengenakan halangan perdagangan yang diskriminatif terhadap negara pengeluar minyak sawit, kami tidak boleh berdiam diri dan tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan tegas.
“Sekiranya terdapat sebarang bukti bahawa amalan perdagangan yang diskriminasi itu melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa, Malaysia dan negara pengeluar lain di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluaran Minyak Sawit (CPOPC) mesti mendesak campur tangan dari Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya ketika ucapan perasmian Kongres Dan Pameran Minyak Sawit Antarbangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu negara pada Selasa.
Ujarnya, pada tahun lalu sebanyak 72 juta tan minyak sawit dihasilkan menjadikannya sebagai minyak sayuran tertinggi didagangkan di seluruh dunia.
Berbanding 25 juta tan minyak kacang soya dan rapeseed yang dihasilkan bagi tempoh yang sama.
Malah sebanyak RM65.7 bilion nilai eksport kepada negara pengeluar produk sawit seluruh dunia dicatatkan pada tahun 2018.
Justeru ujar Tun Dr Mahathir, semua pengusaha dan negara pengeluar perlu berterusan menyokong serta berkempen mengenai produk sawit dalam usaha menepis sebarang diskriminasi pihak-pihak tertentu.
#CPOP #kelapa sawit #Lembaga Minyak Sawit Malaysi #Mahathir Mohamad #Malaysia #MPOB #Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit #Organisasi Perdagangan Dunia #Perdana Menteri #PIPOC #undang-undang #WTO
;