COVID19: Fasa kedua program vaksinasi Sarawak bermula April

Bernama
Mac 11, 2021 09:41 MYT
Sarawak telah menerbitkan pelan vaksinasinya sebulan lebih awal daripada negeri-negeri lain untuk menyeru kepada orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin. - Gambar fail
KUCHING: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak dijangka bermula bulan hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata fasa kedua itu akan dijalankan besar-besaran kerana ia melibatkan vaksinasi terhadap dua juta rakyat Sarawak yang bersetuju dan layak.
"(Fasa) ini juga akan melibatkan ekspatriat serta pekerja asing yang sah dan haram kerana akan timbul masalah jika (mereka) tidak diberikan suntikan vaksin.
"Kita (kerajaan Sarawak) telah memberitahu Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) tentang rancangan ini dan sasaran kita untuk menyelesaikan program vaksinasi ini ialah pada Ogos. Bagaimanapun, rancangan dan sasaran kita bergantung kepada bekalan yang kita dapat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak yang diketuai oleh pakar daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Datuk Dr Andrew Kiyu mengenai rancangan proses vaksinasi itu.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata, kumpulan penasihat itu akan bekerjasama dengan kumpulan pakar perubatan yang lain mengenai butiran dan maklumat vaksin COVID-19 dan juga menjelaskan mengenai keberkesanan vaksin.
Beliau berkata, Sarawak telah menerbitkan pelan vaksinasinya sebulan lebih awal daripada negeri-negeri lain untuk menyeru kepada orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin.
"Pejabat Residen dan Daerah telah berkempen dengan aktif untuk pendaftaran vaksinasi penduduk," katanya.
Setakat ini katanya, kejayaan Sarawak memberikan suntikan vaksin kepada lebih 13,000 petugas barisan hadapan mendapat pujian daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
-- BERNAMA
#vaksin #imunisasi #COVID-19 #program vaksinasi #fasa kedua #Sarawak #rakyat Sarawak #Pejabat Residen & Daerah