COVID: Rakyat Sabah diingatkan kekal patuhi SOP sepanjang Aidilfitri
Bernama
April 24, 2022 05:45 MYT
April 24, 2022 05:45 MYT
KOTA KINABALU: Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, rakyat Sabah diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, sebagai usaha membendung penularan COVID-19.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata menjadi tanggungjawab rakyat untuk terus bersama-sama membendung wabak itu, meskipun terdapat kelonggaran SOP selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.
"Walaupun kita dapat berkumpul beramai-ramai secara bersemuka, jangan kita lupa kita masih perlu mematuhi SOP COVID-19 digariskan kerajaan dari semasa ke semasa dalam pergaulan harian kita.
"Jaga kesihatan dan keselamatan. Patuhi SOP agar kita dapat menunaikan tanggungjawab membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, sukarelawan dan pengamal media, anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu, Shahelmey turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa kuih-muih dan kurma kepada 34 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan malam tadi berkata hampir 57 peratus daripada 60 kes baharu hari ini adalah jangkitan sporadik berbanding 26.7 peratus yang dikesan melalui saringan kontak rapat.
Masidi berkata statistik itu adalah satu peringatan bahawa risiko jangkitan di tempat awam yang penuh sesak, masih tinggi.
"Justeru, amatlah disarankan agar masyarakat mematuhi semua SOP ketika berkunjung ke pusat beli-belah dan bazar Ramadan bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19.
-- BERNAMA